Saturday, 28 April 2012

LAMAN BESTARI BAHASA MELAYU

Assalamualaikum,saya Pn.Mahani.Bt.Hamat (Nombor Matrik: D20111050043).Sekarang, Saya sedang berkhidmat di SK BANDAR BARU SUNGAI BULOH dan berpengalaman mengajar selama 17 tahum.Kini sedang mengikuti kursusu PJJ di UPSI dalam bidang Bahasa Melayu.

Nostalgia lagu "Bahasa Jiwa Bangsa"

BAHASA JIWA BANGSA - Filem Negara

"Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita" - Sejauh mana penggunaannya?

Assalammualaikum. Bukan niat saya untuk menegur sesiapa, sekadar menyuarakan pendapat. Isu bahasa melayu, satu isu lama, yang tenggelam timbul sepanjang masa. "Cintai bahasa kita", kempen yang telah saya dengar semenjak sekolah rendah lagi, boleh dipersoalkan sehingga kini akan keberkesanannya. Secara jujur, saya tiada masalah dengan mereka yang percaya dengan kekuatan bahasa inggeris sebagai bahasa ilmu. Saya juga tiada masalah dengan mereka yang menaruh harapan untuk melihat semula kegemilangan bahasa melayu. Tetapi, Saya kurang selesa dengan mereka yang memperlekehkan bahasa melayu. Bertambah rimas bila mendapat emel pertanyaan yang tunggang langgang bahasa melayunya. Bertambah pening membaca ayat-ayat rojak bahasa inggeris dan bahasa melayu. Meluat pula melihat ejaan yang konon-kononya comel. Kecewa jadinya bila melihat menteri-menteri kita yang bercampur aduk bahasa melayu dan inggerisnya dalam memberikan pendapat. Aduhhh! Wahai menteri-menteri sekalian, anda itu sepatutnya menyokong kempen gunakan bahasa melayu. Kalau mahu gunakan bahasa inggeris, gunakanlah sepenuhnya. Jangan dicampur-adukkan. Makanan rojak itu memang sedap, tetapi bahasa rojak itu, sehebat mana pun pendapat, tetap tidak sedap. Penulisan dan gaya bahasa melayu saya, masih lemah. Itu saya akui. Tidak mengapa, saya akan bertatih perlahan-lahan. Saya mula berblogging menggunakan bahasa inggeris di RestNrilekS. Jika saya boleh jumpa gaya penulisan saya di dalam bahasa inggeris, saya percaya, saya akan jumpa juga gaya penulisan bahasa melayu kelak. Saya suka dan bangga melihat ramai anak muda yang menggunakan bahasa melayu dengan betul. Ada yang rasa, menggunakan bahasa melayu dengan betul tidak cool di dalam berblogging. Bahasa santai bersifat pasar itu lebih mudah dalam penyampaian bercerita. Saya setuju, itu kalau anda ingin menyampaikan maklumat. Tetapi, jika anda ingin menyampai ilmu dan menghormati adab ilmu, gunakanlah bahasa melayu dengan betul. Banyak ilmu yang saya timba daripada blog-blog yang menggunakan bahasa melayu dengan tertib. Saya tidaklah harapkan gaya penulisan yang hebat, sekadar cukup bahasa yang betul ejaan, huruf besar, koma dan titik noktahnya. Mindef ditertawakan apabila silap terjemahan bahasa inggeris laman sesawangnya. Tapi, kita bersikap acuh tidak acuh bila kita sendiri yang merosakkan bahasa melayu. Baiklah saya nekad. Kenapa saya mengambil alih blog ini (rampasan kuasa) dan berbahasa melayu? Jati diri saya. Jangan salah faham pula dengan sikap perkauman. Saya percaya, bangsa yang maju itu adalah bangsa yang berbangga dengan budaya dan bahasa mereka itu sendiri. Tidak kira samada anda Cina, India atau bangsa apa sekalipun, berbanggalah dengan budaya dan bahasa anda sendiri. Jika anda malu, bahasa dan budaya anda tidak akan berkembang. Tamadun bangsa anda tidak akan melonjak. Jika anda malu, anda memang ada masalah dengan indentiti jati diri anda. Langkah pertama kecil, betulkan bahasa anda bagi membina sahsiah budaya yang berkembang. Kemahiran bahasa saya. Komunikasi itu ada tiga perkara yakni, mendengar, bertutur dan menulis. Komunikasi itu adalah satu bentuk kemahiran, dan sebagaimana apa jua kemahiran, untuk menguasainya, anda perlu selalu berlatih. Terlalu kerapa saya lihat muda-mudi bermasalah dalam menyampaikan perkara pokok. Saya faham, zaman sekarang zaman facebook, bahasanya ringkas, cepat dan padat, terus kepada apa yang hendak disampaikan. Malangnya, menulis dengan baik itu mula dianggap remeh dan membebankan. Akhirnya, apa yang disampaikan terbantut, tersekat-sekat dan tidak subur. Komen-komen di blog juga saya lihat semakin pendek tanpa isi. Ramai juga yang lesu minda mereka bila diterjah dengan perbincangan yang panjang lebar. Kadang-kadang, saya terima pertanyaan tentang seni kraf rotan yang bercelaru bahasanya. Serba salah dibuatnya. Hendak menegur, takut terasa hati (walaupun sebenarnya saya terasa hati dengan sikap remeh mereka bertanya). Akhirnya saya diamkan sahaja. Jika ingin pendapat anda diterima dengan baik, belajarlah menulis dengan baik. Menulis dengan baik, melatih anda menyusun dan membina ayat. Amalan itu secara tidak langsung, akan membantu anda meluahkan pendapat. Semua orang boleh bersembang, tapi bukan semua orang mahir dalam menyampaikan. Membudayakan ilmu melayu. Lihat sekeliling. Berapa banyak ilmu yang boleh didapati di dalam bahasa melayu? Jauh tercicir kalau ambil kira bidang sains dan teknologi. Kita patut segan dengan usaha Indonesia yang banyak menterjemah ilmu ke dalam bahasa mereka. Sebagai orang islam, kita patut segan dengan orang barat yang menterjemahkan ilmu-ilmu islam, ke dalam bahasa mereka, dan akhirnya, membudayakan ilmu. Kita pula leka dengan cerita beratus tahun dahulu betapa hebatnya ilmu islam atau ilmu melayu tanpa membuat apa-apa. Saya sendiri sudah letih melihat buku-buku rekabentuk yang kebanyakannya di dalam bahasa inggeris di pasaran. Ramai orang melayu yang hebat, jadi tulislah ilmu-ilmu itu untuk disampaikan. Menulis bahasa melayu dengan betul, saya berharap suatu hari nanti, kita boleh berbangga dan berkata "ilmu kami berusia 100 tahun (atau lebih)". Kebanyakkan ilmu budaya kita pula semakin hilang ditelan zaman sebab bukan amalan kita untuk mencatit ilmu untuk tatapan generasi akan datang. Bahasa jiwa bangsa. Tiga perkataan yang biasa. Menulis bahasa melayu dengan betul itu menjadikan saya lebih berhati-hati. Saya akur, acapkali pertuturan saya itu terlalu lantang (hasil pembelajaran dan asimilasi saya dengan budaya Amerika -Freedom of Speech). Jadi, bila menulis menggunakan bahasa melayu dengan betul, saya menjadi lebih sedar dan berhati-hati tentang ayat-ayat yang digunakan. Emosi bukan menjadi utama, apa yang ingin disampaikan itu yang penting, dalam masa yang sama, memuliakan orang yang dituju. Pastinya lidah terjaga. Lama-kelamaan, pertuturan juga turut berubah. Betul lah kata pepatah, "Bahasa Jiwa Bangsa." Itulah sebabnya, orang-orang bijak pandai lama, tutur bahasa mereka lembut, tetapi tetap terkesan di hati, walaupun ada kalanya hanya berkias. Cukup lah empat perkara ini dulu. Mari bersama-sama berusaha menaikkan kegemilangan bahasa melayu. Mungkin nampak remeh, tapi remeh-temeh tidak baik ini, kalau dihimpunkan, teruk juga. Sikit- sikit lama-lama jadi bukit baik. Bukan mustahil kalau satu hari nanti, bahasa melayu termasuk di dalam kategori antara yang teratas bagi penggunaan bahasa di internet.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah

Cintailah Bahasa Kita melalui Buku

Tak kenal maka tak cinta. Demikian ungkapan yang sering kita dengar. Begitu juga dengan hal berkaitan bahasa Melayu yang jelas diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sayangnya, ramai rakyat negara ini sendiri tidak lagi cintakan bahasanya meskipun dalam masa yang sama bangsa asing begitu tekun menelaah keindahan bahasa kita di universiti seluruh dunia. Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri (PABM) 2009 yang berlangsung dari 1 Mac sehingga 6 Mac yang lalu adalah bukti betapa tingginya martabat bahasa Melayu milik semua rakyat Malaysia. Lantaran kenal akan keindahan bahasa Melayu, penuntut dari seluruh dunia seperti dari Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, Korea, Sepanyol, Itali, Jerman, Maldova, Republik Chez, Bosnia Herzegovina, Palestin dan Belarus mampu menguasai bahasa kita seterusnya mengungkapkannya dalam patah bicara pidato pula. Keadaan yang dipanggil pengantarabangsaan bahasa Melayu ini tentunya tidak akan berlaku jika mereka tidak cintakan bahasa Melayu. Berbalik kepada diri setiap warga Malaysia, adakah kita sudah tidak kenal lagi akan kepentingan dan kehebatan bahasa Melayu hingga tiada bibit cinta dan kasih akan bahasa sendiri? Tidakkah kita malu pada orang asing yang jauh lebih kenal dan cintakan keindahan bahasa kita sedangkan hakikatnya kedudukan bahasa Melayu di tanah air leluhurnya sendiri ibarat melukut di tepi gantang? Menyedari hakikat itu, ada baiknya usaha 'berkenal-kenalan' dengan bahasa Melayu dimulakan hari ini. Apabila sudah kenal maka terbitlah rasa sayang. Bagi tujuan itu, buku berkenaan sejarah, perancangan, kepentingan, perkembangan, kehebatan, kejayaan, masalah, cabaran atau masa depan bahasa Melayu adalah alat penting untuk tujuan mendekatkan semula masyarakat dengan bahasa kita. Bagi menjayakan hasrat memasyarakatkan bahasa ini, ada pelbagai judul buku yang bukan sahaja perlu dibaca malah mesti difahami seterusnya diterjemahkan dalam tindakan atau keputusan kita selepas ini. Jika ditinjau daripada laman sesawang Dawama yang merupakan pencetak dan pengedar buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja terdapat kira- kira 230 buah buku dalam kategori buku Bahasa untuk pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada terbitan tahun 2000. Jawablah secara jujur, adakah salah satu daripada ratusan buku berkenaan bahasa Melayu itu sudah pernah dibaca dan menjadi santapan akal budi anda? Prof. Dr. Awang Sariyan misalnya dalam Warna dan Suasana : Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (2006) telah menggariskan tentang kejayaan perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi, perpaduan dan kemajuan yang giat bermula sejak dekad 1970-an. Tidakkah kita ingin melihat perancangan bahasa Melayu terus berkembang ke tahap 'cemerlang' dalam era globalisasi sebaris dengan bahasa asing lain di dunia ini? Di mana pula semangat 'Malaysia Boleh' dalam kita mempertahankan bahasa kebangsaan hingga begitu mudah tunduk pada tekanan bahasa asing? Selain DBP yang umum maklum memang giat menerbitkan banyak buku tentang bahasa Melayu, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) juga banyak menerbitkan buku berkaitan perjuangan bahasa Melayu. Antaranya seperti Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi (2007), Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu I-VI :1952-2002 (2007), Suara Pejuang Bahasa (2005), Keranda 152: Bahasa Kita Air Mata dan Maruah Kita (2002) dan Manifesto Budaya, Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa (1996). Banyaknya penerbitan buku tentang bahasa Melayu daripada pelbagai perspektif wacana adalah bukti bahawa golongan sarjana telah menjalankan tanggungjawab mereka mengetengahkan kepada kita akan pentingnya bahasa Melayu diangkasakan. Namun, terpulang kepada kita termasuk pembuat dasar untuk benar-benar memanfaatkan penerbitan buku sedemikian. Proses 'suai kenal' bahasa Melayu memerlukan kita membelek, membaca, memahami dan menghayati isi penting yang mahu disampaikan dalam buku-buku berkenaan. Apa pun, rasa cinta akan "bahasa jiwa bangsa" ini hanya akan mengakar umbi dalam benak dan akal budi setelah kita benar-benar kenal akan keindahan dan kepentingan bahasa Melayu disebarluaskan penggunaannya bukan disempitkan atas alasan kemajuan dan proses pensejagatan.